Lebih beragama kita, lebih besar ujianNya kepada kita. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita diuji dengan keikhlasan. Untuk menjadi baik mungkin mudah, tetapi untuk 'terus' menjadi baik, itulah yang sukar.
Bagaikan ada satu kolong di dalam hati kita. Tanpa Dia di situ, tiadalah Dia dimana-mana, selama-lamanya. Kita terbelenggu oleh perasaan-perasaan. Perasaan itulah alamat keimanan.
Kita punya perasaan benci dan marah. Kita manusia. Tiada siapa boleh melarikan diri. ALLAH menganugerahkan perasaan, tetapi Allah juga menganugerahkan kemampuan untuk kita memandu dan mendidiknya. Jika kita tidak memandu kebencian kita, kebencianlah yang akan memandu kita. Jika kita tidak mengawal kemarahan kita, kemarahanlah yang akan mengawal kita.
Untuk menghapuskan kebencian, kita harus segera memaafkan. Sukar tentunya. Tetapi usahanya harus bermula. Allah bersama dalam setiap usaha. Peritnya mujahadah... kerana syurga itu indah.
Berulang kali kita menafikan sebuah perasaan, berulang kali itulah kita tersungkur oleh kemahuan kita sendiri. Ada sesuatu yang diberitakan, andai kita lebih teliti mendengar. Betapa ramai orang yang memilih kalah berbanding menang, demi untuk memperoleh hati yang tenang.
Tiada apa pada monolog ini, hanya nasihat kepada diri sendiri. Kalau tidak pada hari ini, tahun-tahun hadapan, tulisan ini akan menegur penulisnya sendiri. Lebih merotan dan lebih pedih pastinya dari hari ini. Kerana penulisnya juga adalah orang yang sedang berusaha memperbaiki diri sendiri.
"Ya Allah tiada siapa yang boleh menghalang sekiranya Engkau memberi. Tiada siapa yang boleh memberi sekiranya Engkau menghalang. Dan tidak ada kebaikan kekayaan daripada kekayaanMu."
(Hadis Muttafaqun 'Alaih, Syarah Umdatul Ahkam.)